Saturday, August 19, 2017

'Melayu Islam Tonggak Kepimpinan Negara'

Article Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, dalam Malaysiakini berpendapat 'Melayu Islam patut jadi tonggak kepimpinan negara'.

Jika Melayu bersama Islam semuanya selamat, Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat.

Kewujudan pelbagai kaum adalah hikmah Allah, yang maha pencipta alam bagi merealisasikan konsep masyarakat Madani yang memakmurkan dunia untuk mencapai objektif kalimah al-Din dan tamadun.

Perkataan madani daripada al-Din adalah Islam yang sempurna, meyakini bahawa kuasa Allah yang menyeluruh ke sekalian alam, tidak boleh dipertikai sifat rahmat, adil, bijaksana dan segala sifat kesempurnaan bagi-Nya, dan peranan manusia yang diciptakan berjasad, berakal, punya aspek rohani dan hidup bermasyarakat.

Maka syariat Allah adalah paling sempurna dan tidak mampu dipenuhi oleh agama lain, teori dan ideologi ciptaan manusia.

Oleh itu, wajib digabungkan kedua-duanya dalam membina masyarakat madani dengan hidayah Allah, yang maha penyayang terhadap makhluknya bersumberkan daripada al-Quran dan sunnah Nabawiyyah.
Perkara tersebut ditegaskan dalam firman Allah:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (berkenalan dan berhubungan antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di kalangan kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya (berkenaan diri dan urusan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)
Ayat ini menunjukkan bahawa adanya pelbagai kaum, bangsa dan suku sakat adalah ciptaan Allah yang mengandungi hikmah yang maha agung. Semua mereka berasal daripada ibu bapa yang sama, iaitu Adam dan Hawa. Inilah kenyataan sebenar daripada al-Quran yang wajib diimani oleh penganut Islam.
Namun, terdapat kalangan manusia yang degil mencipta teori dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah kerana di luar kemampuan diri manusia, menyebabkan kemusnahan diri sendiri dan alam sekelilingnya. Allah yang maha penyayang sangat murka terhadap golongan ini.
Firman Allah:

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Surah As-Syura: 21)
Dalam aspek perkauman, Islam tetap menegaskan bahawa fitrah manusia adanya kaum dan ada perasaan kecintaan seseorang kepada keluarga dan kaumnya yang tetap diizinkan dan diwajibkan. Namun, kecintaan itu ada sempadannya, iaitu diharamkan dijadikan sebagai aqidah perjuangan apabila sampai ke tahap fanatik yang mencetuskan kezaliman di antara satu sama lain.
Tegasnya, Islam mewajibkan hubungan silaturrahim di kalangan keluarga dan bangsa. Pada masa sama, Islam juga mewajibkan menjaga hubungan persaudaraan kemanusiaan.
Firman Allah:

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan(silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa: 1)
Dalam aspek kekeluargaan pula, Islam mewajibkan berbuat baik terhadap keluarga khususnya ibu bapa walaupun mereka bukan Islam. Namun tegas mempertahankan aqidah Islam apabila ditentang. Firman Allah:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (14) Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku(Allah) dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (Islam). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan (15)” (Surah Luqman: 14-15)
Dalam konsep dakwah yang tidak dipisahkan daripada politik, Allah menetapkan para rasul membina kedudukan bersama kaumnya. Firman Allah:
“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua yang maha kuasa, lagi maha bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)
Allah menceritakan kisah Nabi Lut AS tanpa kaum bersamanya:
“Nabi Lut berkata: Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)” (Surah Hud: 80)
Selain itu, aqidah Islam dapat memelihara keadilan mutlak dalam masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama kerana firman Allah di dalam al-Quran yang wajib diamalkan semuanya secara menyeluruh:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat” (Surah An-Nisa: 58)
Apa yang dibimbangkan hari ini adalah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik.

Begitu juga ada kalangan orang Islam yang bebal beraliran bebas setelah kehilangan jati diri Islam dan kebangsaannya turut berperanan merosakkan konsep dan peranan dominasi ini. Rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menolak kalangan ini dalam pilihan raya umum demi kebaikan semua pihak dan mengatur hari muka yang bahagia dan tiada kecelakaannya.
Maka PAS tetap menolak mereka yang mempertikaikan konsep ini atau tidak mempedulikan akan kepentingannya.
End